Integrasi pengangkutan kekuatan TRX

Integrasi pengangkutan kekuatan TRX

Berita Harian, 23rd November 2015

Berita Harian, 23hb November 2015:

» Anggaran lebih RM3 bilion dibelanjakan bina infrastruktur

Oleh Shahrizan Salian
[email protected]

Tun Razak Exchange (TRX) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sedang bekerjasama untuk meredakan situasi trafik di Jalan Tun Razak.

Kerjasama itu sejajar dengan matlamat TRX untuk meningkatkan hubungan kawasan berhampiran pembangunan itu, termasuk rancangan membina akses baharu dan menaik taraf Jalan Tun Razak yang juga antara jalan utama di Kuala Lumpur.

Jalan Tun Razak menghubungkan pelbagai jalan di bandar raya Kuala Lumpur dan dilalui oleh lebih 6,000 kenderaan penumpang setiap jam ketika waktu puncak.

Rancangan menaik taraf itu, termasuk melebarkan jalan dengan lorong tambahan adalah penting untuk meningkatkan penyuraian trafik serta menambah baik sambungan pengangkutan di dalam dan juga sekitar pembangunan TRX.

Pada masa sama, ia menghubungkan keseluruhan jalan di bandar raya Kuala Lumpur dengan lebih baik.

“Kami sedang melaksanakan kerja naik taraf di Jalan Tun Razak untuk mengurangkan kesesakan trafik berhampiran kawasan Bukit Bintang,” kata Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Mohd Amin Nordin Abdul Aziz.

Bajet 2016 yang dibentangkan baru-baru ini mengumumkan peruntukan RM900 juta untuk mengurangkan kesesakan di Kuala Lumpur dan melaksanakan Projek Penyuraian Trafik Jalan Tun Razak melalui kerjasama strategik awam-swasta.

TRX menganggarkan untuk membelanjakan lebih RM3 bilion untuk pembinaan infrastruktur bagi menjadikan tanah seluas 70 ekar (29 hektar) itu sebuah daerah kewangan bertaraf antarabangsa.

Akses pelbagai lebuh raya

“Apabila TRX disiapkan, ia akan menjadi hab sambungan selesa dengan akses kepada pelbagai lebuh raya. Integrasi perkhidmatan pengangkutan adalah antara satu kekuatan TRX dalam menjadi daerah kewangan Kuala Lumpur,” kata Timbalan Pengarah Urusan syarikat penilai harta CH Williams Talhar & Wong Sdn Bhd, Danny Yeo.

Daerah itu akan mempunyai akses terus ke lebuh raya utama seperti Terowong SMART dan Lebuhraya Maju (MEX), selain sambungan ke Jalan Tun Razak, Jalan Bukit Bintang dan Jalan Sultan Ismail.

Dengan adanya akses terus ini, perjalanan dari TRX ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) akan mengambil masa kira-kira 40 minit sahaja melalui MEX.

“Sama ada anda memandu dari Jalan Tun Razak, Jalan Sultan Ismail atau lebuh raya lain, anda boleh terus memasuki TRX. Satu daripada langkah paling penting yang dilakukan ialah membina sistem terowong bagi TRX, yang menyediakan akses terus dari lebuh raya utama seperti SMART dan MEX, ke pelbagai kawasan dalam pembangunan ini. Ia memintas jalan sibuk seperti Jalan Tun Razak,” kata seorang sumber yang rapat dengan projek itu.

Pengunjung dan pekerja di daerah itu boleh memasuki TRX melalui terowong berkenaan, yang akan membawa mereka terus ke ruang letak kereta yang dianggarkan mempunyai kira-kira 20,000 lot.

Bagi mengurangkan jumlah kenderaan di permukaan jalan di TRX, daerah itu direka agar tempat letak kereta dihadkan kepada kawasan bawah tanah dan podium sahaja.

“Ini akan menjadi sistem rangkaian jalan canggih yang juga sesuatu yang baharu bagi Kuala Lumpur. Ia akan memberikan TRX hubungan pengangkutan terbaik di bandar raya ini,” kata sumber ini.

Stesen lima tingkat

Dengan kedua-dua aliran MRT yang bakal melalui Stesen Pertukaran TRX, infrastruktur mesra pejalan kaki turut perlu menepati standard yang tinggi.

Stesen TRX setinggi lima tingkat dan sepanjang 250 meter, akan menjadi stesen bawah tanah paling dalam sepanjang aliran Sungai Buloh – Kajang serta sudah hampir siap.

Dianggarkan 25,000 orang akan melalui stesen ini setiap jam pada waktu puncak. Lebih separuh pelawat dan pekerja yang memasuki TRX dijangka tiba dengan MRT.

“Stesen pertukaran MRT akan memperkukuhkan lagi hubungan pengangkutan TRX, dengan adanya Aliran Biru yang mengelilingi pusat bandar Kuala Lumpur dan Aliran Merah yang menghubungkan kawasan sub-bandar utama.

“TRX juga akan mengintegrast sambungan pengangkutan di kawasan terbabit dengan pengangkutan lain seperti LRT dan Monorel,” kata Yeo.

Sebagai sebahagian daripada konsep daerah mesra pejalan kaki, TRX juga bekerjasama dengan DBKL untuk membina sambungan pejalan kaki yang menghubungkan kawasan itu dengan Bukit Bintang.

Laluan pejalan kaki itu juga adalah ciri penting TRX memandangkan orang ramai yang menggunakan MRT boleh berjalan keluar dari stesen itu dan masuk terus ke pusat beli-belah atau melalui sebuah taman yang dilengkapi laluan berbumbung.

Laluan berbumbung ini bukan sahaja memudahkan akses kepada bangunan, malah menarik untuk digunakan.

Dengan nilai pembangunan kasar (GDV) dianggarkan RM40 bilion, TRX akan merangkumi pelaburan dalam ruang pejabat Gred-A, kediaman berkelas dunia, sektor hospitaliti, pusat beli-belah dan ruang santai.

Bermodelkan pusat kewangan global lain seperti Canary Wharf di London dan Marina Bay di Singapura, TRX mempunyai tempoh pembangunan selama 15 tahun dan akan disiapkan dalam beberapa fasa, dengan fasa pertama dijangka siap pada 2018.