Taman Awam TRX: Keindahan Rimba di Pusat Bandar

TRX//MyCity
Project Updates
Taman Awam TRX: Keindahan Rimba di Pusat Bandar
December 20, 2018

Salah satu komponen terpenting TRX adalah Taman Awam TRX atau “TRX City Park”, di mana bersama dengan kompleks beli belah the Exchange, berkonsepkan “park in the mall, mall in the park”.

Taman yang bakal menjadi kebanggaan warga KL ini berpasakkan kepada prinsip keharmonian alam sekitar dengan teknologi tinggi, dan berasaskan kemampanan sejagat.

Terletak di tengah-tengah TRX, Taman Awam TRX merupakan nadi pembangunan ikonik, yang bukan sahaja berfungsi sebagai satu ruang santai pelawat dan lokasi festival dan acara-acara keramaian, malahan juga adalah sebuah hab kulinari serta kawasan beriadah bersama keluarga.

“TRX akan mengubah tanggapan terhadap ruangan awam, yang tidak semestinya hanya dikelilingi permukaan konkrit, bersesak-sesak, atau berpersekitaran yang kurang menyenangkan.

Taman Awam TRX ini akan menawarkan pengalaman baru buat warga Kuala Lumpur, kerana ia bakal mengintegrasikan pengalaman rekreasi dan komersial dengan latar ekologi yang sihat. Pada kami, ini adalah hadiah ikhlas projek ini bagi warga KL,” jelas Dato' Haji Azmar Talib, ketua pegawai eksekutif TRX.

TRX City Park

 

Inspirasi dari yang terbaik di dunia

Pembangunan lestari adalah teras pembangunan TRX, dan alam semula jadi adalah titik tumpuannya.

Seni reka Taman Awam TRX mengambil inspirasi daripada taman-taman bandar terbaik di seluruh dunia, seperti Millennium Park di Chicago, Highline di New York, Cheonggyecheon Stream di Seoul dan Namba Park di Osaka.

Dalam proses mereka bentuk taman tersebut, pertimbangan mempengaruhi aspek-aspek kesenian, alam dan kebergunaan diambilkira. Contohnya, kajian dibuat untuk memastikan jenis spesis tumbuhan yang akan dipilih akan dapat menarik haiwan-haiwan taman.  

Paling menakjubkan, taman ini juga merupakan bumbung kepada kompleks membeli belah The Exchange, pusat komersil yang bertaraf dunia, yang akan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan membeli-belah, rangkaian restoran serta hiburan yang unik.

The Exchange dan Taman Awam TRX adalah sebahagian daripada “Lifestyle Quarter” yang berkeluasan 17 ekar, yang dimajukan bersama oleh syarikat hartanah dan pembinaan global Lendlease dan TRX City Sdn Bhd.

Bukan itu sahaja, taman ini juga harus menepati kehendak pelbagai warga TRX, sama ada pekerja, penduduk mahupun pengunjung tak kira umur. Tambah lagi, lokasi TRX yang menjadikan ia daerah yang paling berketersambungan di kota raya dijangka akan meningkatkan lagi populariti taman ini.

Kemudahan dan akses adalah keutamaan di Taman Awam TRX. Bulevad pejalan kaki sepanjang lebih 300 meter, yang mengunjur dari TRX ke kawasan Bukit Bintang, akan menyambungkan Stesen MRT TRX ke Taman Awam TRX dan terus ke Pavillion.

Laluan kenderaan bermotor pula diasingkan di bawah binaan taman ini, demi keselamatan pengunjung.

Stesen MRT TRX adalah satu-satunya stesen pertukaran antara MRT1 dan MRT2 di tengah-tengah ibu kota. TRX juga mempunyai rangkaian terus dengan lebuhraya utama KL seperti SMART, MEX dan DUKE 3.

TRX City Park

 

Tarikan untuk semua

Taman seluas 10 ekar ini dibahagikan kepada beberapa ruangan dinamik yang menawarkan pelbagai aktiviti yang sebelum ini masih belum ditawarkan oleh mana-mana taman awam mahupun kompleks beli belah di Malaysia.

Di tengah-tengah taman ini terletak halaman acara luar, yang bakal merancakkan aktiviti kesenian dan kebudayaan di Kuala Lumpur. Halaman acara ini akan berlatarkan menara The Exchange 106, kedua-duanya ikon yang akan meningkatkan lagi prestij TRX.

Di pinggirannya pula, para pencinta alam dapat menjejaki denai rimba sambil singgah di kafe alfresco. Terdapat juga kawasan riadah dan senaman luar yang dilengkapi dengan kemudahan-kemudahan sukan.

Buat kaum keluarga, TRX menyediakan bukan sahaja taman permainan kanak-kanak, malahan juga pusat penjagaan dan oulet spa dan kesejahteraan bagi yang ingin beristirehat.

Selain itu, terdapat juga ruang mesyuarat terbuka bagi mereka yang mencari kelainan dalam persekitaran bekerja.  Bayangkan mood rakan-rakan anda yang menghadiri diskusi di salah satu kafe yang berhadapan taman nan rimbun ini.

Namun, pepohon rendang dan teres pokok bunga yang menghiasi taman ini berperanan lebih daripada sekadar penyejuk mata.

Perancangan hortikultur Taman Awam TRX merupakan sebahagian daripada strategi kemampanan yang menyeluruh: dengan menaiktaraf habitat semula jadi, mengurangkan kesan pemulauan haba dan bertindak sebagai pusat tadahan air yang akan dikitar semula.