9.30 pagi: Saya memulakan perjalanan pagi ini dengan menaiki MRT dari Stesen MRT Tun Razak Exchange. Melangkah masuk ke stesen Tun Razak Exchange, saya dapat melihat rekaan yang bertemakan Islamik korporat yang sungguh menakjubkan. Saya kemudiannya membeli tiket untuk ke stesen berikutnya iaitu Bukit Bintang. Eskalator di stesen ini setingggi 3 tingkat, ala London Underground.
9.40 pagi: Sesampai di Bukit Bintang, saya terpegun dengan penggunaan warna jingga dan merah yang terang yang melambangkan kepesatan aktiviti perdagangan dan pelancongan. Kawasan Bukit Bintang, betul-betul di tengah Segitiga Emas adalah salah satu tempat tumpuan pelancong untuk membeli-belah. Oleh itu, saya tidak melepaskan peluang untuk singgah di Pavilion, Lot 10 dan Low Yat Plaza semasa berada di situ.
1.00 petang: Setelah selesai membeli-belah dan makan tengah hari, saya bergerak ke stesen seterusnya iaitu stesen Merdeka. Apa yang menarik di stesen ini adalah tema Kemerdekaan. Tarikan utama stesen ini ialah mural yang memperlihatkan Tunku Abdul Rahman Putra, Perdana Menteri kita yang Pertama ketika melaungkan Merdeka! Saya berasa sangat teruja dan tidak melepaskan peluang untuk bergambar bersama mural tersebut. Bagi saya, stesen ini mencerminkan kisah kemerdekaan negara kita bersama elemen patriotisme yang secukupnya. Stesen ini sememangnya menarik terutamanya kepada golongan penggemar Instagram untuk memuat naik gambar-gambar berunsur artistik.
1.15 petang: Penerokaan saya diteruskan lagi dengan stesen MRT Pasar Seni. Apa yang menariknya, rekaan di stesen ini berkait rapat dengan budaya tradisional dan juga kontemporari. Saya memilih untuk keluar dan singgah di kawasan sekitarnya iaitu “Central Market” yang dikenali sebagai Pasar Seni di mana bangunannya berusia lebih 100 tahun. Di kawasan sekitar MRT Pasar Seni ini juga terletaknya Jalan Petaling, atau “China Town”. Di sinilah tempat kunjungan kesukaan pelancong dan penduduk tempatan untuk mendapatkan tawaran murah bagi barang-barang seperti beg tangan, kaca mata, cenderamata dan sebagainya.
1.45 petang: Setelah selesai membeli beberapa cenderamata, saya menaiki semula MRT menuju ke Muzium Negara, yang penuh dengan unsur warisan dan budaya. Stesen ini dinamakan sempena Muzium Negara yang terletak setapak dari stesen. Dari sana, saya berjalan ke Nu Sentral melalui penghubung bawah tanah untuk berjumpa rakan-rakan saya untuk bersiar-siar di Little India, Brickfields.
2.30 petang: Setelah seharian penat meneroka Kuala Lumpur menggunakan MRT, saya, bersama rakan-rakan saya kembali ke stesen TRX dari stesen Muzium Negara. Kami singgah di TREC, yang terletak bertentangan stesen TRX untuk berehat dan bersantai setelah 5 jam meneroka Kuala Lumpur!
Kredit Foto: MRT Malaysia