Press Release
Lakaran Masa Hadapan KL Yang Lestari: TRX Umum Pemenang Pertandingan Seni
KUALA LUMPUR, 29 Mac 2018 – TRX City Sdn Bhd (TRX City), dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Malaysia, telah mengumumkan penyertaan terbaik untuk Pertandingan Seni TRX yang julung kali diadakan.
Pertandingan seni tersebut, yang bertemakan “Sustainable Kuala Lumpur”, dianjurkan sejajar dengan aspirasi lestari TRX. Terbuka kepada semua pelajar tertiari di Malaysia yang berumur 16 tahun dan ke atas, objektif pertandingan adalah untuk meneroka aspirasi kelestarian bandar dari perspektif golongan belia Malaysia dan menzahirkan hasrat dan impian mereka melalui karya seni visual.
Sebagai daerah kewangan antarabangsa Kuala Lumpur, TRX akan mengukuhkan kedudukan Kuala Lumpur sebagai pusat perniagaan dan kewangan yang utama dengan mewujudkan suasana pusat perniagaan yang kondusif untuk firma perkhidmatan kewangan, syarikat multinasional (MNC) dan perkhidmatan-perkhidmatan berkaitan.
Pertandingan tersebut mempromosikan idea bahawa sebuah daerah perniagaan masih boleh memenuhi keperluan para penyewa dan penduduk dengan kelestarian dari segi amalan dan reka bentuk. TRX telah dianugerahkan pensijilan Platinum Perbandaran GBI Township yang pertama di Malaysia, serta pensijilan Emas Leed ND.
Pelajar Universiti Teknologi Petronas (UTP), Haikal Irfan bin Amir, 19 merupakan penerima hadiah utama bagi pertandingan tersebut, yang menerima penyertaan dari pelbagai institusi pengajian tinggi di seluruh Malaysia. Selain itu, tujuh lagi lakaran telah disenaraikan untuk hadiah-hadiah khas.
Para pemenang telah dipilih oleh juri-juri yang terdiri daripada pakar-pakar yang berpengalaman luas dalam bidang seni visual kreatif;
- Syahrul Niza Ahmad Zaini, kurator senis halus di Balai Seni Negara
- Abdul Rahim Muda (Imuda), kartunis terkemuka
- Amin Daud, pereka permainan mudah alih terkenal
Mengulas mengenai keputusan pertandingan tersebut, Syahrul Niza berkata, “Karya Haikal Irfan paling meyerlah kerana ia memberi gambaran yang dinamik mengenai Kuala Lumpur sebagai sebuah bandaraya pada masa akan datang. Lakaran beliau turut menggambarkan Kuala Lumpur secara realistik dan tepat, dengan pembangunan futuristik yang dikelilingi dengan bangunan-bangunan lama yang menggambarkan sejarah ibu kota”.
Komen Imuda, “Melalui penilaian professional yang teliti, kami memilih karya Haikal Amir. Berdasarkan penyertaan kali ini, saya yakin bahawa kami akan melihat penyertaan lebih baik untuk pertandingan seni TRX yang akan datang”.
Mengenai pentingnya memupuk semangat kreatif di kalangan generasi muda Malaysia, Dato’ Azmar Talib, Ketua Pegawai Eksekutif TRX City Sdn Bhd berkata, “Saya gembira melihat jumlah penyertaan yang tinggi yang kami terima untuk pertandingan yang julung kali diadakan. Selain menggalakkan lebih ramai golongan muda di Malaysia menjulang semangat kreativiti dalam jiwa mereka, kami juga menggunakan platform ini untuk mengumpul suara belia mengenai topik kelestarian alam sekitar, satu isu yang akan memberi kesan yang mendalam kepada masa depan mereka. Kelestarian merupakan elemen yang penting dalam pelan induk TRX, jadi mengumpul input dan idea mengenai isu ini adalah penting”.