News
TRX City Sdn. Bhd. (TRX City) berada di ‘peringkat maju’ dalam perbincangan dengan beberapa pelabur yang berminat untuk membuat pelaburan di pusat kewangan antarabangsa, Tun Razak Exchange (TRX).
Ketua Pegawai Eksekutif TRX City, Datuk Azmar Talib berkata, pelabur tersebut turut merangkumi jenama terkemuka dalam sektor perbankan dan kewangan global.
Katanya, ketika ini TRX telah menarik pelabur terkemuka antarabangsa iaitu HSBC Malaysia melibatkan pelaburan bernilai AS$250 juta (RM1.06 bilion), Lendlease yang turut membangunkan Lifestyle Quarters, Mulia International Group yang membangunkan Signature Tower dan Veolia, iaitu syarikat kitar semula bagi sisa kumbahan.
“Selain pelabur-pelabur itu, kami juga sedang berbincang dengan beberapa pelabur lain yang berminat. Ini kerana jika London boleh berbangga dengan Canary Wharf, Shanghai pula dengan Pudong, Singapura terkenal dengan Marina Bay, kini tiba masanya Kuala Lumpur berbangga dengan TRX.
“Oleh itu, apabila idea TRX dimulakan, kami tidak melihat ia sekadar satu pembangunan hartanah. Sebaliknya, kami melihatnya dalam konteks yang lebih luas dan bagaimana projek ini akan menjadi nadi penting kepada Kuala Lumpur sekali gus merangsang perkembangan ekonomi yang lebih besar pada masa akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan alu-aluan menyambut rombongan duta-duta dari luar negara yang dalam rangka lawatan meninjau kawasan sekitar pembangunan TRX. Yang turut hadir, Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia, Vicki Treadell dan Ketua Pegawai Eksekutif InvestKl, Datuk Zainal Amanshah.
Pada pertengahan Jun lalu, HSBC Malaysia memeterai perjanjian jual beli dengan TRX City untuk membina ibu pejabat dengan minimum ruang pejabat seluas 568,000 kaki persegi sekali gus menjadikan HSBC sebagai bank asing pertama melabur dalam pembangunan TRX.
Projek pembangunan ikonik TRX itu melibatkan kawasan pembangunan seluas 28 hektar di tengah-tengah pusat bandar raya dengan keseluruhan tempoh pembangunan selama 15 tahun.
TRX City Sdn. Bhd. sebelum ini dikenali sebagai 1MDB Real Estate Sdn. Bhd., adalah pemaju induk projek tersebut tetapi kini ia merupakan entiti sendiri.
Dalam pembentangan ketika lawatan tersebut, Pengarah Eksekutif Projek TRX, Tan Hwa Min berkata, projek berkenaan dijangka bersedia mulai 2018 atau 2019.
“Ketika ini, 80 peratus daripada kawasan pembangunan tanah di TRX (tapak projek di kawasan Utara) dikomersialkan atau di bawah rundingan manakala selebihnya dikhususkan untuk institusi kewangan,” katanya.
Sementara itu, Zainal berkata, pelabur-pelabur terus menunjukkan keyakinan terhadap Malaysia di sebalik isu-isu dalaman termasuk 1Malaysia Development Berhad (IMDB) kerana didorong oleh asas ekonomi yang kukuh terutama dari segi perkembangan ekonomi pada suku pertama tahun ini yang lebih baik dan juga pembangunan infrastruktur secara bersepadu.
“Kita setakat ini mempunyai senarai pelabur yang tinggi dari United Kingdom, Perancis, Belgium, New Zealand, Belanda, China dan Jepun yang terus berminat untuk terus melabur di Greater KL dan pada masa sama ada yang turut terlibat dalam projek Transit Aliran Massa (MRT) dan Transit Aliran Ringan (LRT),” katanya.