TRX Tarik minat kukuh pelabur asing

25
March
2015
TRX Tarik minat kukuh pelabur asing

Berita Harian, 25hb Mac 2015:

Hab kewangan antarabangsa, Tun Razak Exchange (TRX), menarik minat kukuh pelabur asing dan antarabangsa, kata Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Real Estate, Datuk Azmar Talib.

“Tidak ada pelabur yang menarik diri dalam rundingan atau perbincangan,” katanya ketika ditanya sama ada isu yang melanda 1Malaysia Development Berhad (1MDB) menghalang pelabur untuk menanam modal di TRX.

1MDB Real Estate ialah unit dalam 1MDB.

Malah, beliau berkata, pelabur asing semakin menunjukkan minat selepas 1MDB Real Estate menandatangani perjanjian usaha sama dengan Lend Lease, rakan antarabangsa yang kukuh dan bereputasi tinggi, untuk membangunkan projek gaya hidup.

Tawar perkhidmatan

Lend Lease yang beribu pejabat di Australia ialah kumpulan hartanah antarabangsa yang menawarkan perkhidmatan bersepadu penuh termasuk pengurusan pelaburan, pembangunan, pembinaan dan pengurusan projek.

Ia terbabit sama melaksanakan projek penting di Malaysia termasuk Menara Kembar PETRONAS, Setia Mall City, dan baru-baru ini, Pinewood Iskandar Malaysia Studios.

Nilai pembangunan kasar projek gaya hidup TRX dianggarkan RM8 bilion.

“Situasi kini semakn menarik dan ramai yang datang berjumpa kami. Kami sudah berunding dengan pelabur asing dan tempatan dan kami akan membuat beberapa pengumuman penting tidak lama lagi.

“Pelabur asing yang berminat melabur di TRX berasal dari tujuh negara, sekali gus memberi isyarat kukuh mengenai daya maju projek berkenaan,” kata Azmar.

Komited terhadap projek

Ketua Pegawai Eksekutif Lend Lease di Asia, Rod Leaver, berkata firma itu komited terhadap projek berkenaan.

“Pada peringkat tertentu kelak, kami mungkin akan membawa pelabur lebih besar untuk melabur bersama 1MDB (Real Estate),” katanya.

Mengulas mengenai pendekatan itu, Azmar berkata firma itu berhati-hati dalam memilih rakan usaha sama serta pembangunan TRX.

“Kami melalui beberapa proses ketat dalam memilih rakan usaha sama, dan kami hanya membangunkan berasaskan permintaan,” katanya dan menambah 1MDB Real Estate sangat berhemat dalam pembangunan TRX memandangkan ia adalah projek jangka panjang.

“Matlamatnya ialah untuk memastikan TRX dapat mengharumkan Kuala Lumpur seperti yang dilakukan oleh KLCC 20 tahun lalu,” kata Azmar.

BERNAMA

TRX City Sdn Bhd (Company No. 888740-X)

Bangunan TRX,
Jalan Lapangan Terbang Lama,
50460 Kuala Lumpur, Malaysia.

T +603 2142 9688
F +603 2142 2323
[email protected]

Other Contacts

MEDIA ENQUIRIES
[email protected]

RECRUITMENT ENQUIRIES
[email protected]

TRX Brochure

Latest Press Releases